Rabu, 30 September 2009

CATATAN PERJALANAN KE KAMPUNG ORANG ASLI


Gua Musang - 4 Oktober 2009, KESEDAR bersama KEMAS, JHEOA, PPD, PDRM dan UMNO telah menganjurkan satu ekspedisi ke kawasan Orang Asli. Peserta ekspedisi seramai 43 orang menaiki 12 buah pacuan 4 roda bertolak dari bandar Gua Musang pada jam 8.30 pagi.

Sepanjang lawatan, tidak ada apa apa insiden buruk yang berlaku kecuali sebuah kenderaan mengalami kerosakan dan tidak boleh digunakan. Walaubagaimanapun insiden ini tidak menjejaskan misi peserta ekspedisi ini. Pada hari pertama, kami tiba di Kg Chachuh Pos Belatim dimana kami disambut meriah oleh penduduk kampung. Selama 3 jam kami berada disini, penduduk kampung diberikan hamper berupa beras, minyak masak, milo, gandum, ikan bilis, sardin dan lain lain makanan segera.

Pada sebelah petang nya pula kami bertolak ke Kg Perawas Pos Balar, dimana kami menginap di Sekolah Kebangsaan Balar. Disini kami disediakan tempat penginapan yang selesa iaitu asrama sekolah. Manakala pada sebelah malamnya kami sajikan kepada Orang Asli persembahan kugiran yang kami bawa khas dari Kuala Betis. Malam ini kami tidur di asrama yang selalunya menempatkan pelajar lelaki Orang Asli S.K.Balar. Alhamdulillah, kami tidak didendangi oleh suara nyamuk sehingga kami terlena hingga ke pagi.

Pagi 5 Oktober 2009 – kami disediakan sarapan nasi lemak ikan bilis oleh pengusaha kantin sekolah, mungkin kerana lapar, hampir semua peserta rombongan makan lebih dari sepinggan nasi lemak. Jam 10.30 pagi kami bertolak ke Kg Ladoi Pos Hau. Setibanya disana kami disambut meriah oleh penduduk kampong bersama penghulu mereka. Kami sempat meninjau persekitaran kampong yang bukanlah sebesar mana, tetapi cukup menyamankan. Semasa melawat persekitaran, kami disediakan buah durian, sudah lama kami tidak makan durian, kami semua makan selahapnya.

Pagi 6 Oktober 2009 – kami bertolak ke Pos Bihai, ahli rombongan tidak kurang dan tidak lebih, semuanya seronok berada bersama rombongan, makan, minum, bergurau senda, semua nya kami bersama. Hampir satu kilometer dari Sekolah Kebangsaan Bihai, tempat yang kami tuju, kenderaan yang dinaiki oleh Pegawai JHEOA mengalami kerosakan turbo, menyebabkan kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger terpaksa ditarik. Kejadian ini tidak melemahkan kami, akhirnya kami tiba di destinasi yang telah ditentukan.

Pagi 7 Oktober 2009 – kami sekali lagi bertolak ke Kampung Orang Asli di Pos Tuel, sepanjang perjalanan konvoi kami tidak banyak berhenti rehat kerana kami melalui jalan bertar sehingga simpang masuk ke Pos Hendrop. Perjalanan kami dari Gua Musang ke Pos Hendrop Cuma memakan masa setengah jam manakala perjalanan kami ke Pos Tuel hanya memakan masa setengah jam sahaja. Sebaik tiba di Pos Tuel, kami disambut meriah dengan kawalan pasukan keselamatan oleh RELA dan POLIS. Disini kami disajikan dengan masakan tradisonal Orang Asli iaitu Ubi Kayu Bakar.

Sepanjang perjalanan ini, betapa besarnya keagungan Tuhan, dijadikan hutan sebagai penghias muka bumi, bukit dan gunung sebagai paksi kepada bumi, unggas hutan umpama alunan lagu rindu, lebih menarik lagi, Tuhan jadikan manusia dari berbagai bentuk, warna kulit dan tabii, Orang Asli adalah bukti yang nyata, mereka luar biasa, itulah keagungan Tuhan, sesungguhnya Allah maha mengetahui.