Assalamualaikum dan salam sejahtera saya utarakan kepada semua penduduk Gua Musang, terutama sekali pemimpin dan ahli UMNO yang saya cintai. Alhmadulillah sepanjang saya memegang jawatan sebagai Setiausaha UMNO bahagian Gua Musang bermula pada 9 April 2009, dan kemudiannya dipilih mewakili rakyat sebagai Ahli Yang Berhormat pada November 2010, saya tidak menghadapi masalah dari segi kerjasama dengan pemimpin dan ahli UMNO. Kerjasama ini amat memberangsangkan bukan sahaja dari kalangan masyarakat desa, tetapi juga dari ketua ketua jabatan kerajaan, samada kerajaan persekutuan atau negeri. Ini satu petanda baik untuk saya memulakan langkah sebagai peneraju hal ehwal pentadbiran serta pengurusan dalam UMNO Bahagian.
Pada bulan Oktober 2009, saya bersama dengan KESEDAR, KEMAS, JHEOA dan PPD telah memulakan langkah dengan melawat kawasan orang asli di enam buah kampung iaitu Pos Balar, Pos Belatim, Pos Bihai, Pos Hau, Pos Hendrop dan Pos Brooke. Seramai 43 orang peserta termasuk saya hadir kekawasan berkenaan untuk berjumpa dengan pemimpin dan masyarakat orang asli. Alhamdulillah, ini juga berjalan dengan lancar dimana kita berjaya mendaftar pengundi orang asli seramai 604 orang kesemuanya, satu pencapaian yang amat membanggakan.
Dalam bulan November pula kita telah mejalankan gerakan mengesan daftar pemilih yang baru memohon untuk didaftarkan sebagai pengundi disamping mengesan pengundi yang memohon untuk berpindah tempat mengundi. Ini juga tidak mampu dilakukan tanpa kerjasama dari semua pemimpin dan ahli masyarakat.
Kemuncak kepada kerjaya saya ialah apabila saya dipilih sebagai calon BN DUN Galas pada November 2010 selepas Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia mengadakan pilihanraya kecil Dun Galas ekoran kematian YB Chek Hashim Selema dari parti PAS. Alhamdulillah syukur, dengan sokongan padu semua kawan kawan, pemimpin parti dan semua rakyat bukan sahaja di Gua Musang, tetapi juga seluruh negara, serta dengan izin Allah s.w.t. saya berjaya dipilih sebagai Wakil Rakyat. Kejayaan ini bukan sahaja menjulang nama baik Barisan Nasional, tetapi juga seluruh kepimpinan UMNO. Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada pucuk pimpinan parti yang telah memilih saya sebagai calon Barisan Nasional.
Walaubagaimanapun, saya amat berharap agar kerjasama ini dapat ditingkatkan lagi demi masa depan UMNO dan Barisan Nasional. Pertelingkahan dan perselisihan faham sesama kita harus dijadikan iktibar agar ianya mampu diperbetulkan tahap demi tahap. Sikap tamak haloba perlu dihindarkan dari hati kita, kerana ia boleh memusnahkan hubungan antara kita. Gejala rasuah jangan pula dijadikan amalan hidup seharian kita semua, jika ini dapat dihindarkan, InsyaAllah, kita semua akan selamat.
Dalam setiap tindakan, kita tidak dapat lari dari menghadapi masalah, tapi ingatlah, tidak ada manusia yang tidak menghadapi masalah walaupun orang gila, jadi harapan saya, sebagai pemimpin samada diperingkat bahagian atau cawangan, hindarkanlah perselisihan faham antara kita, dahulukan rakyat, utamakan pencapaian.